Seperti yang telah diberi amaran oleh penganalisis pasaran, US dolar menunjukkan pengukuhan nilai pada dagangan Isnin semalam ketika masih bergerak dalam landasannya untuk melemah bagi jangkaan beberapa tempoh ke depan.
Pergerakan pasaran perlahan di pembukaan sesi awal minggu, namun US dolar mula pamerkan pemulihan di awal sesi New York sebelum disokong oleh ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell.
Powell menyuntik kenyataan hawkish dalam kerancakan pasaran ketika ini, mengurangkan sedikit jangkaan sebelumnya terhadap pemotongan tambahan 50 mata asas lagi pada mesyuarat November nanti.
Menurut pandangan Powell, penilaian terkini terhadap pertumbuhan ekonomi, kadar simpanan dan pendapatan peribadi pengguna dilihat mengurangkan kebimbangan terhadap ekonomi yang sedang difokuskan oleh bank pusat.
Namun, beliau melihat berkemungkinan dua lagi pemotongan kadar faedah di penghujung tahun ini dengan jumlah 50 mata asas pemotongan jika ekonomi menunjukkan prestasi yang cemerlang seperti unjuran.
Kenyataan yang bersifat ‘less dovish’ oleh Powell itu sedikit mengurangkan tekanan buat US dolar, namun pelabur masih perlu kekal berhati-hati dengan beberapa data ekonomi penting yang akan diterbitkan minggu ini.
Tumpuan utama adalah pada laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) di penghujung minggu yang akan memberi petunjuk terbaru terhadap Fed untuk penetapan dasar.
US dolar untuk tempoh terdekat ini dilihat masih berpotensi untuk menyambung pengukuhan nilainya jika momentum semalam berjaya dikekalkan, namun perubahan situasi tidak mustahil berlaku.
Data inflasi Eropah akan menjadi tumpuan sebentar lagi sebelum pasaran yang beranjak ke sesi New York pula akan menilai data tinjauan sektor pembuatan AS dan pekerjaan JOLTS.