Menuju dagangan ke penghujung minggu, US dolar mula menunjukkan tanda-tanda untuk melemah seperti yang telah dijangkakan oleh para penganalisis pasaran.
Ini berikutan langkah pemotongan kadar faedah agresif yang menjadi pilihan Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat FOMC awal pagi Khamis semalam.
Walaupun selepas tamat persidangan bersama Pengerusi Fed Jerome Powell menyaksikan US dolar kembali mengukuh, namun penganalisis melihat gambaran negatif buat US dolar untuk pergerakan jangka masa panjangnya.
US dolar bergerak lemah diiringi petunjuk-petunjuk yang boleh diperhatikan pelabur seperti kejatuhan indeks dolar (DXY) ke paras terendah lebih 1 tahun mencecah bawah paras 100.00 mata semalam.
Namun, hasil perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) menunjukkan sedikit peningkatan, memberi isyarat penyusutan yang berlaku ke atas US dolar berkemungkinan masih dalam situasi terhad.
Turut menghadkan kejatuhan lebih parah buat US dolar adalah data tuntutan faedah pengangguran AS untuk minggu lalu yang mencatatkan angka yang lebih rendah berbanding ramalan.
Antara tumpuan lain di sesi New York semalam adalah kesan pergerakan ke atas mata wang Pound Sterling susulan keputusan mesyuarat polisi bank pusat England.
Bank of England (BOE) seperti dijangka mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 5.00% dan memberi isyarat untuk berhati-hati untuk tidak menurunkan kadar faedah terlalu cepat dan banyak.
Pound sempat melonjak susulan reaksi awal keputusan mesyuarat itu mencatatkan paras tertinggi terbaru sejak Mac 2022 sebelum sedikit berundur.
Tumpuan di penghujung minggu ini adalah kepada keputusan mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) yang dijangka turut akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah, dan bakal pengaruhi pergerakan mata wang Yen.