Walaupun berlaku turun naik yang rancak kebelakangan ini, namun US dolar jika diperhatikan telah berjaya catatkan pengukuhan untuk 5 minggu berturut-turut.
Ini disokong oleh bacaan data inflasi Amerika Syarikat (AS) serta pekerjaan yang semakin memberi gambaran untuk Federal Reserve (Fed) tidak tergesa-gesa untuk melakukan pemotongan kadar faedah seperti yang dijangkakan sejak tahun lalu.
US dolar papar pergerakan perlahan membuka dagangan di awal minggu ini yang sememangnya dijangkakan berikutan pasaran AS bercuti sempena sambutan Hari Presiden.
Walaupun perlahan, US dolar sedikit mengukuh berbanding penyusutan yang diperlihatkan pada penutupan dagangan penghujung minggu lalu.
Tumpuan minggu ini akan terarah kepada minit mesyuarat FOMC yang akan menjadi pemacu arah bagi raja mata wang itu.
Di awal sesi Asia pagi ini (Selasa), tumpuan diberikan kepada laporan minit mesyuarat bank pusat Australia (RBA) untuk petunjuk lebih jelas hala tuju dasar monetari.
Meneliti laporan, ahli mesyuarat mempertimbangkan untuk kadar faedah dikekalkan atau dinaikkan sebanyak 25 mata asas.
Namun, kebarangkalian lebih tinggi adalah untuk mengekalkan kadar dan memerhatikan kesan ke atas inflasi semasa.
Dolar Australia sedikit lemah susulan reaksi laporan minit tersebut diterbitkan sebentar tadi.
Mata wang utama lain dalam pasaran juga bergerak suram di awal minggu selain menerima sedikit tekanan daripada US dolar dengan prestasi yang sedikit baik.
Laporan dasar monetari bank pusat England (BOE) dan data inflasi Kanada akan menjadi tumpuan pada sesi Eropah dan New York hari ini.
Pasaran komoditi juga suram di awal minggu tidak menunjukkan sebarang pergerakan harga yang memberangsangkan.
Harga minyak mentah bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent masing-masing stabil pada paras peningkatan minggu lalu.
Sementara harga emas sedikit berundur setelah paparkan peningkatan di awal sesi Asia semalam. Harga berlegar perlahan di bawah paras $2,022.