Corak bullish masih dikekalkan pada carta pasangan mata wang GBP/USD dengan pergerakan uptrend harga berterusan untuk 2 minggu berturut-turut.
Menyokong situasi tersebut adalah didorong oleh penyusutan mata wang US dolar dengan jangkaan pemotongan kadar faedah Federal Reserve (Fed) bakal dilaksanakan pada mesyuarat September.
Data pekerjaan dan inflasi pengguna Amerika Syarikat (AS) menjadi pemangkin utama dan pelabur akan memerhati petunjuk susulan di penghujung minggu ini pada data inflasi pengeluar dan jualan runcit AS.
Walaupun data ekonomi UK tidak begitu memberangsangkan, namun Pound berjaya kekalkan prestasi cemerlang memanfaatkan situasi suram US dolar.
Susut seketika di awal minggu ke paras 1.34000, harga kembali meneruskan pendakian lebih tinggi dengan mengekalkan isyarat bullish pergerakan di atas garisan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta GBP/USD itu.
Menyambung kenaikan dari paras 1.35000 pada Rabu semalam, harga kini telah menghampiri zon rintangan 1.36000 yang menjadi tumpuan sasaran.
Meomentum mula perlahan dan pelabur memerhatikan reaksi harga di zon penting itu untuk dapatkan petunjuk arah harga selanjutnya.
Dengan kecenderungan untuk kenaikan diteruskan, harga bakal melepasi zon 1.36000 dan kemudiannya menuju sasaran ketinggian baharu pada 1.37000 pula.
Ini akan menjadikan pencapaian tertinggi harga untuk tempoh dagangan 6 minggu sebelum sasaran beralih kepada 1.38000.
Namun jika harga gagal melepasi 1.36000 dan berundur turun, isyarat perubahan trend akan mula diperhatikan.
Paras terhampir bakal diuji dilihat pada 1.35000 sebelum penurunan dilanjutkan ke sekitar 1.34000.
Lihat gambar carta harga pasangan GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.