Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
SELASA (9 Disember 2025)
Kenyataan Kadar Faedah RBA, Bank Pusat Australia (11.30 pagi) – Kenyataan ini adalah pengumuman keputusan kadar faedah oleh Bank Pusat Australia, sebarang keputusan untuk menaikkan kadar akan menyasarkan untuk mengawal inflasi dengan mengehadkan perbelanjaan, tetapi berpotensi melambatkan pertumbuhan ekonomi Australia. Sebaliknya, menurunkan kadar akan merangsang pinjaman dan pertumbuhan tetapi mungkin meningkatkan risiko inflasi.
Data Pekerjaan JOLTS (11 malam)– JOLTS mengukur kekosongan jawatan (permintaan) dan pergerakan pekerja dalam pasaran buruh AS. Sekiranya kekosongan tinggi, ini menandakan pasaran buruh AS yang sangat kuat, sering kali menyebabkan tekanan kenaikan gaji dan inflasi, yang memberi justifikasi kepada The Fed untuk menaikkan kadar faedah.
RABU (10 Disember 2025)
Kenyataan Kadar Faedah BoC, Bank Pusat Kanada (10.45 malam) – Sekiranya BoC merasakan inflasi Kanada telah terkawal dan pertumbuhan mula perlahan, mereka mungkin memilih untuk memotong kadar untuk merangsang pinjaman dan pelaburan, yang biasanya akan melemahkan Dolar Kanada (CAD).
KHAMIS (11 Disember 2025)
Mesyuarat FOMC (3 pagi) – Acara utama yang menjadi tumpuan hangat sejak beberapa minggu, pemain pasaran meletakkan jangkaan tinggi bahawa Federal Reserve (Fed) akan melonggarkan dasarnya sebanyak 25 mata asas dan keputusan tersebut akan memberikan tekanan buat mata wang dolar AS (USD).
Tuntutan Pengangguran AS (9.30 malam) – Jika jumlah tuntutan yang rendah menunjukkan bahawa syarikat tidak memberhentikan pekerja, menandakan pasaran buruh AS masih sihat dan ekonomi kukuh. Sebaliknya, tuntutan yang melonjak naik adalah isyarat awal pasaran buruh yang lemah, menunjukkan potensi peningkatan pengangguran dan kelembapan ekonomi.



















































