Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
ISNIN (3 November 2025)
PMI Pembuatan AS Tinjauan ISM (11.00 Malam) – Data tinjauan yang akan diterbitkan ini bakal memberi gambaran kesihatan perniagaan di Amerika yang memberi reaksi terhadap situasi ekonomi semasa. Bacaan angka bagi sektor pembuatan dijangka masih kekal di bawah paras 50 untuk Oktober.
SELASA (4 November 2025)
Mesyuarat Polisi RBA (11.30 Pagi) – Bank pusat Australia dijangka untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 3.60% untuk mesyuarat kali kedua selepas pemotongan yang dilakukan pada Ogos lalu. Kenyataan susulan bank pusat akan diperhatikan sebagai isyarat hala tuju dasar monetari selanjutnya.
Data JOLTS AS (Sesi New York) – Pelabur bakal meneliti laporan JOLTS terbaru yang mengira jumlah pekerjaan yang dibuka pada bulan September. Komponen data pekerjaan ini penting dalam memberi isyarat untuk penetapan dasar monetari Federal Reserve.
RABU (5 November 2025)
Data Pekerjaan ADP (9.15 Malam) – Laporan pada awal Oktober lalu untuk pekerjaan ADP mencatatkan kehilangan 32,000 pekerjaan sebelum situasi penutupan kerajaan membuatkan penerbitan data mula tergendala. Untuk bacaan terbaru, pertambahan perlahan dijangka dicatatkan sekitar 28,000 untuk bulan lepas.
PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (11.00 Malam) – Ramalan bagi angka tinjauan untuk sektor perkhidmatan di Amerika kekal di atas paras 50 mata dengan sedikit peningkatan bagi bulan Oktober.
KHAMIS (6 November 2025)
Mesyuarat Polisi BOE (8.00 Malam) – Keputusan mesyuarat bank pusat England pada minggu ini akan memacu pergerakan Pound. Kadar faedah dijangka kekal pada 4.00% dengan pasaran akan meneliti undian oleh ahli MPC.
JUMAAT (7 November 2025)
Data Pekerjaan Kanada (9.30 Malam) – Ekonomi Kanada dijangka bakal mencatatkan kehilangan pekerjaan sekitar 4,000 untuk Oktober setelah peningkatan cemerlang 60,400 telah dicatatkan pada bulan sebelumnya. Namun kadar pengangguran dianggarkan meningkat kepada 7.2%.
Data Pekerjaan NFP AS (Sesi New York) – Sekiranya situasi penutupan kerajaan di AS semakin buruk, laporan NFP kali ini juga berkemungkinan berisiko untuk ditangguhkan seperti bulan lalu.
Data Indeks Harga PCE (Sesi New York) – Menjadi indikator inflasi kegemaran Fed, data indeks PCE yang mengukur perbelanjaan penggunaan peribadi di AS akan diperhatikan. Angka teras bulanan untuk September dijangka kekal pada 0.2% seperti bacaan sebelumnya.


















![[FOMC] Kadar Faedah Fed Kekal 4.50%, Nada Powell Berhati-Hati](http://intraday.my/wp-content/uploads/2025/05/fomc-powell-360x180.png)



































