Gabenor Rusia, Alexander Tsybulsky mengumumkan bahawa sebutir berlian berkualiti tinggi seberat 340 karat telah ditemui di tapak perlombongan di wilayah Arkhangelsk, Rusia, lapor Xinhua.
Beliau menyatakan berlian itu termasuk antara lima berlian terbesar yang pernah dijumpai dalam sejarah moden Rusia dan merupakan yang terbesar sepanjang tempoh pembangunan industri Vladimir Grib (V. Grib).
Menurut Tsybulsky, berlian itu terserlah kerana saiz, kualiti dan nilai pasaran yang tinggi, dengan jenis seumpamanya hanya sekitar 2% daripada semua berlian semula jadi.
Lombong Vladimir Grib dikendalikan oleh AGD Diamonds, sebuah syarikat perlombongan berlian Rusia.
Berlian 340 karat ini berpotensi mencapai nilai jualan yang sangat tinggi di pasaran antarabangsa, kemungkinan mencecah puluhan juta dolar, bergantung kepada pemprosesan dan penilaian lanjut.
Nilai berlian itu dijangka memberi impak signifikan kepada ekonomi syarikat AGD Diamonds dan industri perlombongan Rusia.
Rusia kini merupakan pengeluar berlian terbesar di dunia dari segi kualiti, manakala wilayah Arkhangelsk antara kawasan perlombongan berlian utama di negara itu.