Jutawan dunia atau Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk kembali memberi perhatian kepada Bitcoin selepas hampir tiga tahun menyepi dengan menegaskan bahawa mata wang kripto tersebut mampu melindungi pelabur daripada bahaya pencetakan wang fiat oleh kerajaan.
Menerusi satu hantaran di platform X pada Selasa, Musk memuji model bukti kerja (proof-of-work) Bitcoin yang berasaskan tenaga, dengan menyifatkannya sebagai mekanisme kalis inflasi yang tidak boleh dimanipulasi.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada hantaran daripada penganalisis popular Zerohedge, yang menyifatkan lonjakan terkini dalam Bitcoin dan logam berharga sebagai reaksi terhadap ‘kebajikan kerajaan’ bagi membiayai perlumbaan senjata AI antara kuasa ekonomi dunia.
Hantaran tersebut merupakan komen serius pertama Musk mengenai Bitcoin sejak November 2022, ketika beliau meramalkan kejatuhan pasaran kripto selepas krisis FTX dan Alameda Exchange.
Walau bagaimanapun, Musk masih belum memberi sebarang maklum balas tentang isu kelestarian tenaga dalam perlombongan Bitcoin, yang sebelum ini menjadi punca beliau menarik balik sokongan terhadap transaksi BTC melalui Tesla.
Pada Mei 2021, Tesla menghentikan penerimaan Bitcoin sebagai kaedah pembayaran kenderaan atas sebab kebimbangan alam sekitar, menyebabkan harga BTC menjunam lebih 6% dalam tempoh satu jam.
Dengan harga Bitcoin kini menghampiri $111,000, komen terbaru Musk dilihat menyemarakkan semula perbincangan mengenai peranan aset digital itu sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dan mungkin juga sebagai alternatif kepada sistem kewangan tradisional yang bergantung kepada ‘wang fiat’ kerajaan.