China mengumumkan penggantungan duti pelabuhan ke atas kapal yang berkait dengan Amerika Syarikat (AS) selama setahun, sebagai sebahagian daripada strategi diplomasi ekonomi antarabangsa.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pengangkutan China, pengecualian tersebut meliputi kapal yang dimiliki, dioperasikan atau didaftar di AS.
Ini didorong pembukaan semula rundingan perdagangan antara kedua negara selepas tempoh pertikaian yang berlarutan sebelum ini.
Tindakan Beijing dilihat sebagai respon seimbang kepada pengumuman Washington sebelum ini yang menyatakan penangguhan pelaksanaan duti pelabuhan terhadap kapal China selama setahun, sebagai sebahagian daripada rundingan bilateral bagi mengurangkan ketegangan perdagangan.
Penganalisis menilai langkah ini berpotensi memperkukuh aliran perdagangan maritim antara China dan AS selain mengurangkan beban kos logistik bagi syarikat berkaitan kapal.
Komen rasmi daripada Washington atau pihak berkuasa pelabuhan AS masih belum diterima setakat ini.
Langkah China tersebut menunjukkan bahawa meskipun wujud ketegangan geopolitik, kedua-dua negara kini memilih pendekatan pragmatik untuk mengurangkan kesan negatif terhadap industri maritim dan perdagangan global.

























































