Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
China melancarkan latihan tembakan selama tempoh 10 jam di sekitar Taiwan pada Selasa.
Latihan yang memasuki hari kedua itu bertujuan untuk menunjukkan keupayaan memutuskan hubungan Taiwan dengan sokongan luar sekiranya berlaku konflik.
Pemerintah Teater Timur menjelaskan bahawa simulasi tersebut akan berlangsung sehingga jam 6 petang (1000 GMT) melibatkan ruang udara dan perairan laut di lima lokasi utama sekitar negara itu.
Pihak berkuasa China turut menyatakan bahawa latihan itu menunjukkan keazaman tentera China untuk memerangi gerakan pemisahan, serta menggalakkan penyatuan tanpa teragak-agak.
Pentadbiran Keselamatan Maritim China semalam menetapkan dua zon tambahan bagi melancarkan tembakan, sekali gus menjadikan latihan yang digelar ‘Misi Keadilan 2025’ ini antara yang terbesar setakat ini berbanding siri latihan sebelumnya.
Sementara itu, latihan perang ini bermula 11 hari selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pakej senjata bernilai $11.1 bilion kepada Taiwan.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan Kementerian Pertahanan China yang memberi amaran bahawa tentera mereka akan mengambil langkah tegas terhadap Taiwan sebagai tindak balas.
Pegawai kanan keselamatan Taiwan memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi tindakan China bagi mengesan sebarang provokasi lanjutan, termasuk kemungkinan pelancaran peluru berpandu merentasi ruang udara Taiwan, sebagaimana yang berlaku semasa latihan China pada 2022.
Tentera China mengesahkan bahawa mereka telah mengarahkan kapal pemusnah, pengebom dan unit-unit lain untuk melatih serangan laut, pertahanan udara, serta operasi anti-kapal selam bagi menguji tahap kesiapsiagaan aset laut dan udara mereka.


























































