Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan China akan mengenakan duti sementara sehingga 42.7% ke atas beberapa produk tenusu yang diimport dari Kesatuan Eropah (EU).
Tindakan ini diambil susulan berakhirnya fasa pertama siasatan anti-subsidi yang dilihat sebagai balasan terhadap tarif yang dikenakan oleh EU ke atas kenderaan elektrik (EV) buatan China.
Antara produk tenusu yang terlibat ialah susu dan keju, termasuk keju biru Perancis yang terkenal, Roquefort dengan kadar duti antara 21.9 hingga 42.7%.
Menurut laporan berita Reuters, kebanyakan syarikat dijangka perlu membayar duti sekitar 30% dengan kutipan bermula pada Selasa.
Setakat ini, Suruhanjaya Eropah belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai keputusan tersebut.
Pihak berkuasa China menegaskan bahawa pelaksanaan duti ini bersifat sementara dan berkemungkinan akan disemak semula selepas keputusan muktamad diperoleh.
Pada minggu lalu, China telah menurunkan kadar duti sementara ke atas import daging babi, satu langkah yang dianggap sebagai usaha meredakan ketegangan perdagangan secara beransur-ansur.
Ketegangan perdagangan antara EU dan China bermula sejak 2023 apabila Suruhanjaya Eropah memulakan siasatan anti-subsidi terhadap EV yang dihasilkan di China.
Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif ke atas beberapa produk EU seperti brandi, daging babi dan kini produk tenusu.
Walau bagaimanapun, China telah beberapa kali mengurangkan kesan tarif ini, termasuk memberikan pengecualian separa kepada pengeluar brandi utama seperti Pernod Ricard, LVMH, dan Remy Cointreau.
Menurut Kementerian Perdagangan China, rundingan mengenai tarif EV akan disambung semula bulan ini.
Namun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi dikeluarkan selepas tarikh akhir rundingan pada minggu lalu.

























































