Industri alat perubatan Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatatkan peningkatan eksport sebanyak 31% pada 2024.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, peningkatan tersebut menjadikan nilai jualan keluar negara sekitar RM37 bilion.
Beliau menyatakan bahawa antara 2021 hingga 2024, sektor ini telah menarik pelaburan dalam dan luar negara berjumlah RM20 bilion, menyumbang kira-kira RM1.8 bilion setiap tahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mewujudkan lebih 130,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Di bawah Pelan Induk Perindustrian 2030 (NIMP 2030), sektor alat perubatan diiktiraf sebagai pemangkin pertumbuhan strategik yang memperkukuh nilai pelaburan negara, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, dan menjadikan Malaysia hab teknologi perubatan bertaraf dunia.
Antara inisiatif utama, Dr Dzulkefly menyebut program Regulatory Reliance Programme yang dilaksanakan bersama China dan Singapura melalui Pihak Berkuasa Alat Perubatan (MDA).
Program tersebut membolehkan peranti yang diluluskan oleh MDA didaftar melalui laluan ringkas di negara rakan serta sebaliknya, mengurangkan pengulangan proses dan mempercepat akses pasaran merentasi sempadan.