CEO Tesla, Elon Musk menghadiri majlis makan malam bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman di White House.
Pertemuan semula ini menandakan kemunculan umum pertama mereka sejak pertelingkahan besar awal tahun ini.
Kehadiran Musk dan Trump dalam majlis tersebut berkemungkinan menjadi tanda perdamaian antara kedua-dua tokoh berkenaan.
Musk sebelum ini menyokong dan membiayai kempen pilihan raya Trump tahun lalu, serta berkhidmat sebagai penasihat rapat dalam pentadbiran awal tahun ini.
Beliau turut mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) dan mengawasi pemotongan perbelanjaan serta pengurangan kakitangan kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, hubungan mereka mula retak selepas Musk mengkritik rang undang-undang percukaian dan perbelanjaan Trump di media sosial serta menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti politik baharu.
Trump membalas kritikan tersebut dengan mengancam untuk menamatkan subsidi berbilion dolar yang diterima oleh syarikat-syarikat Musk daripada kerajaan AS.
Penganalisis berkata bahawa pertelingkahan antara Musk dan Trump bersama dengan politik sayap kanan ekstrem Musk telah menjejaskan imej jenama, jualan serta harga saham Tesla.
Sejak pertelingkahan itu, Musk dan Trump jarang muncul bersama secara terbuka.
Musk kali terakhir dilihat bertemu dengan Trump ketika majlis memperingati aktivis konservatif, Charlie Kirk pada September lalu.

























































