Emas kekal mencanak dan mencecah rekod paras tertinggi baharu sepanjang masa pada $3,055 selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell mengumumkan kadar faedah dikekalkan pada mesyuarat terbaru.
Pada jam 8.45 pagi, harga emas berada pada paras $3,052.53 iaitu naik 0.15% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Fed memutuskan untuk mengekalkan kadar tidak berubah pada julat 4.25%-4.50% dan mengakui bahawa keadaan pasaran buruh kekal kukuh tetapi inflasi agak meningkat.
Unjuran ekonomi Fed membayangkan bahawa pegawai menjangkakan dua pemotongan kadar tahun ini. Kadar dana Fed diramalkan kekal pada 3.9%, tidak berubah daripada unjuran Disember.
Manakala, unjuran inflasi dan pengangguran diramalkan menaik.
Ekonomi Amerika Syarikat (AS) dijangka perlahan di bawah ambang 2%, menunjukkan bahawa ia menjadi sedikit rapuh di tengah-tengah dasar perdagangan Presiden Donald Trump.
Beralih kepada perkembangan geopolitik, peperangan antara Rusia dan Ukraine berterusan walaupun terdapat perbincangan untuk mencapai gencatan senjata selama 30 hari daripada menyerang kemudahan tenaga.
Selain itu, konflik Timur Tengah meningkat dengan serangan udara Israel membunuh 400 orang pada hari Selasa.