Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas (XAU/USD) mencatatkan momentum tinggi sejak beberapa minggu berikutan keluaran data-data AS yang memberikan isyarat lemah buat pasaran buruh yang mampu menekan kedudukan mata wang USD dan konflik geopolitik di antara Amerika Syarikat-Venezuela.
Pada jam 9.45 pagi, harga emas berada pada paras $4,381 iaitu naik 0.97% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Dalam masa terdekat, aktiviti ekonomi di Amerika Syarikat agak terhad kerana minggu dagangan rasmi terakhir tahun ini berakhir, dengan banyak kaunter ditutup sempena cuti Krismas.
Indeks Sentimen Pengguna oleh Universiti Michigan bagi Disember gagal mencapai jangkaan, apabila responden melaporkan peningkatan kadar pengangguran serta penurunan pembelian barangan tahan lama buat bulan kelima berturut-turut.
Sebelum ini, Presiden Fed New York, John Williams, menyatakan beliau tidak berasa ‘terdesak’ untuk mengubah dasar monetari. Sikap Williams yang berubah daripada dovish kepada neutral-hawkish menyokong pemulihan nilai Greenback secara sederhana.
Minggu ini, perhatian ekonomi AS akan tertumpu pada data yang bakal diumumkan pada 23 Disember, walaupun minggu dagangan dipendekkan akibat cuti Krismas dan Tahun Baharu.
Pelabur akan memantau data penting seperti purata 4 minggu Perubahan Pekerjaan ADP, angka pertumbuhan awal suku ketiga, Pesanan Barangan Tahan Lama untuk Oktober, serta laporan Pengeluaran Perindustrian bagi Oktober dan November.




















































