Federal Reserve dijangka melaksanakan pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat minggu ini, namun mesej dasar dijangka lebih berhati-hati memandangkan jawatankuasa FOMC berberbeza pandangan antara kumpulan hawkish dan dovish. Pasaran menjangka pengurangan yang disertai amaran bahawa pelonggaran tambahan sukar berlaku dalam masa terdekat.
Perbezaan pandangan jelas apabila sesetengah ahli FOMC bimbang mengenai kelemahan pasaran buruh, manakala yang lain melihat inflasi masih terlalu tinggi untuk membenarkan pelonggaran agresif. Powell dijangka menekankan bahawa Fed berpuas hati dengan kedudukan dasar semasa dan memerlukan lebih banyak data sebelum bertindak lagi.
Pelabur turut memberi perhatian kepada dot plot yang akan dikemas kini, bersama unjuran pertumbuhan, pengangguran dan inflasi. Penganalisis menjangka lebih banyak perbezaan pandangan dalam jangkaan kadar individu, berikutan mesyuarat Oktober yang merekodkan dua undi tidak bersetuju.
Di tengah-tengah ketidaktentuan dasar, data ekonomi AS menunjukkan kelembapan pasaran buruh, termasuk penurunan pengambilan pekerja dan peningkatan pemberhentian, manakala inflasi kekal di 2.8% iaitu jauh daripada sasaran 2%. Ini meningkatkan tekanan terhadap Fed untuk mengekalkan dasar yang cukup ketat bagi mengawal inflasi.
Selain itu, Fed mungkin turut mengumumkan perubahan kepada pengurusan neraca, termasuk kemungkinan berhenti mengurangkan pegangan bon. Walau bagaimanapun, pasaran tidak menjangka tindakan setara dengan QE, sebaliknya lebih kepada penstabilan pasaran pembiayaan jangka pendek.
















































