Langkah kanan buat US dolar pada pembukaan awal minggu apabila memaparkan pengukuhan sederhana setelah menyusut sedikit pada sesi-sesi akhir minggu lalu.
Pelabur memberi tumpuan terhadap perjumpaan Presiden Donald Trump dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy pada Isnin semalam dalam membincangkan penyelesaian perang dengan Rusia.
Memerhati pergerakan US dolar dengan teliti, pelabur bakal menunggu laporan minit mesyuarat FOMC dan juga data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS yang bakal diterbitkan minggu ini.
Jika diteliti pergerakan carta pasangan mata wang EUR/USD, harga bermula perlahan pada pembukaan sesi Asia pagi Isnin semalam di sekitar zon 1.17000 sebelum mula menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Susut di sesi Eropah hingga bersambung ke sesi New York, harga turun sekitar 1.16600 dengan isyarat bearish diperhatikan apabila harga mula bergerak di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta tersebut.
Jangkaan bagi penurunan lanjut harga dilihat bakal mencecah sekitar 1.16000 untuk paras sokongan semasa itu diuji lagi pada minggu ini.
Sekiranya gagal melantunkan harga seperti minggu lepas, harga yang tembus lebih rendah ke bawah berisiko susut hingga sekitar 1.15000.
Namun, jika harga berjaya melonjak naik semula, zon 1.17000 menjadi rintangan penting untuk diuji dan ditembusi sebelum memberi isyarat perubahan trend.
Menyokong kenaikan lebih tinggi harga, paras ketinggian minggu lalu sekitar 1.17300 akan dicabar dan seterusnya sasaran beralih kepada zon tumpuan 1.18000 pula.
Lihat gambar carta harga pasangan EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.