Inflasi zon Eropah meningkat sedikit kepada 2.2% pada November, berbeza dengan jangkaan pasaran. Ini secara tidak langsung mengukuhkan pandangan bahawa Bank Pusat Eropah tidak akan tergesa-gesa mengurangkan kadar faedah. Inflasi kekal berhampiran sasaran 2% sepanjang tahun, dengan harga tenaga yang lebih rendah membantu mengimbangi tekanan harga domestik, terutama dalam perkhidmatan.
Inflasi teras pulak kekal pada 2.4%, dipacu oleh peningkatan kos perkhidmatan, sementara barangan tahan lama menunjukkan pertumbuhan harga yang semakin perlahan. Data ini menyokong pandangan ECB bahawa inflasi kini terkawal dan pembuat dasar mempunyai masa untuk menilai perkembangan ekonomi tanpa perlu melakukan pelonggaran segera.
Pasaran kini meletakkan kemungkinan hampir sifar terhadap pengurangan kadar pada mesyuarat ECB 18 Disember, dan hanya 25% peluang pelonggaran pada 2025. ECB sebelum ini mengurangkan kadar sebanyak 200 mata asas sehingga Jun, dan mengekalkan kadar sejak itu.
Walaupun inflasi dijangka jatuh di bawah sasaran paad tahun hadapan berikutan kejatuhan harga tenaga, ECB melihatnya sebagai penyimpangan sementara. Namun ada kebimbangan bahawa bacaan inflasi terlalu rendah berpotensi menjejaskan jangkaan harga. Harga gas dan minyak yang jauh lebih rendah menunjukkan trend deflasi tenaga masih berterusan.
Dalam konteks pertumbuhan, ekonomi zon Eropah menunjukkan tanda-tanda pengembangan sederhana sekitar 1% hingga 1.5%, disokong oleh pasaran buruh yang ketat. Kadar pengangguran naik sedikit kepada 6.4%, namun keseluruhan data ekonomi kekal cukup positif untuk mengekalkan keyakinan penggubal dasar bahawa ekonomi berada pada landasan stabil.



















































