Sektor barangan mewah global berdepan kejatuhan besar apabila nilai pasaran gabungan 10 syarikat terkemuka susut hampir £75 bilion (RM446 bilion) sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan tarif baharu terhadap import dari Kesatuan Eropah (EU) pada April lalu, yang digelar beliau sebagai “Liberation Day”.
Analisis data yang telah dibuat oleh AJ Bell dan Hargreaves Lansdown mendedahkan jenama-jenama ternama seperti LVMH, Hermes dan Estee Lauder mengalami kemerosotan harga saham ketara.
LVMH, kumpulan barangan mewah terbesar dunia, mencatat kejatuhan saham sebanyak 17%, manakala Prada, jenama fesyen Itali yang pernah dimodelkan oleh pelakon terkenal Emma Watson, kini kehilangan lebih suku daripada nilai pasaran asalnya.
Keadaan pasaran menjadi bertambah buruk apabila perbelanjaan pengguna di China dan AS sebagai dua pasaran utama industri mewah dilaporkan turut merosot di tengah ketidaktentuan perang dagang.
Menurut penganalisis Hargreaves Lansdown, Susannah Streeter, walaupun perjanjian perdagangan terbaharu berjaya mengelakkan kenaikan tarif secara mendadak, kadar tarif 15% ke atas eksport EU ke AS masih menjadi beban besar yang berpotensi memperlahankan pemulihan sektor.
Kini, industri barangan mewah berdepan cabaran berganda untuk mengekalkan eksklusiviti dan prestij jenama dalam pasaran yang semakin berhati-hati berbelanja, sambil merangka strategi baharu bagi mengurangkan kesan tarif serta ketidaktentuan ekonomi global.