Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan mengumumkan kadar tol di 10 lebuh raya utama di seluruh negara akan dikekalkan sepanjang tahun depan sebagai langkah melindungi kebajikan rakyat daripada kenaikan kos hidup di bandar.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyatakan lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Selain itu, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) turut kekal dengan kadar tol sedia ada.
Keputusan ini sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu dalam program Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, di mana kerajaan bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol tanpa sebarang kenaikan.
Alexander menegaskan, meskipun kerajaan terpaksa menanggung pampasan kewangan sebanyak RM591.56 juta bagi tahun 2026, langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup khususnya kepada pengguna lebuh raya.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.
Beliau juga menambah, Kementerian Kerja Raya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan lebuh raya negara kekal efisien, mampan dan selaras dengan aspirasi kerajaan yang mengutamakan rakyat.

























































