Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyampaikan sebuah pengumuman dengan bayangan bahawa kerajaan bakal mempertimbangkan semula pemberian bantuan RM100 secara ‘one-off’ kepada pelajar bagi meringankan beban kos sara hidup.
Beliau berkata, cadangan itu akan diteliti dalam penyediaan Belanjawan 2026 selepas seorang pelajar Universiti Multimedia (MMU) mengajukan permintaan ketika sesi dialog di universiti tersebut pada Isnin semalam.
Anwar menjelaskan bahawa permintaan tersebut boleh dipertimbangkan namun ia perlu diseimbangkan dengan keperluan rakyat lain.
Anwar menegaskan, kerajaan berdepan pelbagai tuntutan termasuk projek mitigasi banjir di Kelantan, usaha membawa industri berimpak tinggi ke Johor serta menangani kemiskinan di Kedah.
Dalam sesi sama, beliau turut mengingatkan bahawa langkah kerajaan membaik pulih tadbir urus serta memperkukuh usaha antirasuah mampu membuka lebih ruang kewangan untuk rakyat.