Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini bukan lagi pemegang saham utama dalam IOI Properties Group Bhd.
Situasi ini berlaku susulan KWSP mengurangkan pegangan secara berperingkat dalam kaunter sahamnya, yang sebelum ini mencapai paras tertinggi dalam tempoh sebulan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, dana persaraan pekerja swasta itu, yang mula menjadi pemegang saham utama IOI Properties sejak Januari 2017, telah menjual 100 juta saham, bersamaan 1.82% pegangan pada 3 Oktober.
Penjualan itu menurunkan pegangan saham KWSP dalam syarikat pemaju hartanah tersebut daripada 6.11% kepada 4.29%.
Pemegang saham terbesar IOI Properties ialah Vertical Capacity Sdn Bhd, syarikat yang dikawal oleh keluarga Pengerusi IOI Corp, Tan Sri Lee Shin Cheng, dengan pegangan sebanyak 65.67%.
Harga saham IOI Properties ditutup pada RM2.18 pada 3 Oktober, iaitu paras tertinggi dalam sebulan, menjadikan nilai blok saham yang dijual oleh KWSP sekitar RM218 juta.
Setakat semalam, saham syarikat susut satu sen atau 0.47% kepada RM2.14, dengan permodalan pasaran berjumlah RM11.78 bilion.