Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memberi tumpuan kepada usaha membina semula simpanan pencarum selepas sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan melalui empat skim pengeluaran berkaitan pandemik Covid-19, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, pengeluaran tersebut melibatkan seramai 8.2 juta pencarum menerusi i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.
Katanya lagi semasa menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbi Muda berhubung tahap kecukupan simpanan pencarum untuk menampung usia persaraan mereka, fokus utama ketika ini adalah untuk memperkukuh simpanan persaraan bagi memastikan ahli menikmati pendapatan yang mampan selepas bersara.
Amir Hamzah turut menegaskan kerajaan tidak bercadang memperkenalkan pengeluaran baharu memandangkan struktur akaun KWSP kini telah dirombak dengan pengenalan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3, di mana Akaun 3 bersifat fleksibel untuk pengeluaran ketika kecemasan.
Selain itu, beliau mendedahkan KWSP sedang meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen bulanan bagi ahli baharu, yang dijangka diluluskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sementara itu, pencarum sedia ada berpeluang memilih sama ada untuk kekal dengan skim semasa atau beralih kepada skim baharu tersebut.