Malaysia Airlines dan Royal Air Maroc, syarikat penerbangan nasional Maghribi telah menandatangani perjanjian codeshare strategik yang bertujuan untuk memberikan kemudahan perjalanan yang lebih baik dan memperluaskan jangkauan antara benua Afrika, Eropah, dan Asia.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Malaysia Airlines akan menambah kod ‘MH’ pada penerbangan yang dioperasikan oleh Royal Air Maroc dari Casablanca (CMN) ke Doha (DOH), London (LHR), dan Paris (CDG).
Sementara itu, Royal Air Maroc pula akan menggunakan kod ‘AT’ pada penerbangan yang dioperasikan oleh Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur (KUL) ke Doha (DOH), London (LHR), dan Paris (CDG).
Datuk Captain Izham Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group, menyatakan, “Kolaborasi ini bukan sahaja meningkatkan kehadiran kami di rantau yang sedang berkembang pesat, malah mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lancar dan penuh sambutan mesra Malaysia.”
Sementara itu, Encik Hamid Addou, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Royal Air Maroc, berkata, “Perkongsian strategik dengan Malaysia Airlines ini merupakan langkah penting dalam pengembangan rangkaian antarabangsa kami dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai jambatan utama antara Afrika, Eropah dan Asia.”
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkukuh kehadiran global serta memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin meningkat.”
Dengan permintaan perjalanan yang semakin meningkat antara Asia dan Afrika, kerjasama ini membolehkan kedua-dua syarikat mengoptimumkan sinergi operasi masing-masing, menawarkan lebih banyak destinasi serta sambungan yang lebih lancar melalui hab utama mereka di Kuala Lumpur dan Casablanca.























































