Legenda Barcelona, Lionel Messi memberi bayangan mengenai perancangan terbesarnya selepas menamatkan kerjaya sebagai seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.
Kapten Argentina itu membuat penampilan pertamanya di American Business Forum berhampiran kota Miami, semalam.
Selain ikon bola sepak, majlis itu turut dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Presiden FIFA, Gianni Infantino serta Ketua Pegawai Eksekutif Formula One, Stefano Domenicali.
Messi, 38 menyatakan bahawa beliau telah melalui kerjaya yang panjang dan masih meneruskannya, namun kini semakin memberi tumpuan kepada pencapaian terdahulu dan perancangan masa hadapan.
Beliau mengakui bahawa karier dalam bola sepak tidak kekal selama-lamanya dan setiap pemain pasti akan menemui titik penamat dalam perjalanan mereka.
Pemain Inter Miami itu juga menyuarakan keinginan untuk terus bermain sehingga Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Beliau yang telah memenangi lapan kali Ballon d’Or imenyatakan bahawa dunia perniagaan kini semakin menarik minatnya, dan beliau berhasrat untuk menerokainya dengan lebih mendalam.
Messi turut merancang untuk memberikan sokongan kepada pengusaha kecil serta golongan belia melalui pelaburan yang bersifat strategik selepas persaraannya.
Dalam usaha meneroka bidang keusahawanan, beliau berhasrat untuk memastikan legasinya terus memberikan inspirasi di luar arena sukan.

























































