YouTuber terkenal, MrBeast kini merancang untuk menceburi bidang kewangan dengan melancarkan syarikat perkhidmatan kewangannya sendiri iaitu ‘MrBeast Financial.’
Perkembangan ini didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Beast Industries, Jeffrey Housenbold pada Sidang Kemuncak DealBook anjuran The New York Times semalam.
Beliau turut mengesahkan laporan awal Business Insider bahawa syarikat tersebut sedang bersiap sedia untuk mengembangkan operasi ke sektor perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi.
Menurut Jeffrey, syarikat itu akan melancarkan sebuah syarikat telekomunikasi, Beast Mobile serta sebuah platform kewangan yang menekankan literasi kewangan dan akses kepada maklumat global.
Permohonan syarikat kepada Pejabat Paten Amerika Syarikat (AS) pada 13 Oktober juga menyenaraikan perancangan untuk membangunkan aplikasi mudah alih dan pelbagai perkhidmatan kewangan, termasuk kripto, di bawah jenama ‘MrBeast Financial.’
Permohonan tanda dagangan tersebut sejajar dengan rancangan MrBeast untuk berkembang ke dalam bidang fintech melalui penyediaan produk seperti pinjaman pelajar, insurans dan cerapan kredit yang disokong oleh kandungan celik kewangan.
Pelancaran ini dijangka direalisasikan melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat fintech bagi memanfaatkan infrastruktur sedia ada, sekali gus mengurangkan risiko peraturan dan risiko kredit.























































