Syarikat Nestle akan mengurangkan sekitar 16,000 pekerjaan di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai langkah penjimatan kos dan bagi memulihkan keyakinan pelabur.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Nestle, Philipp Navratil menyatakan bahawa Nestle menaikkan sasaran penjimatan kos kepada 3 bilion franc Swiss ($3.77 bilion) daripada 2.5 bilion franc menjelang akhir 2027.
Beliau turut berkata 12,000 pekerja pejabat akan diberhentikan dalam tempoh dua tahun, manakala 4,000 lagi pekerja pembuatan dan rantaian bekalan dikurangkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kecekapan berterusan.
Pengurangan pekerjaan itu mewakili 5.8% daripada kira-kira 277,000 pekerja Nestle.
Syarikat pembuat Kitkat, Nespresso dan Maggi dari Switzerland itu menghadapi tekanan pelabur akibat jualan terhenti, harga saham merosot, kos meningkat dan hutang bertambah, selain berdepan tarif import Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, pengeluar makanan tersebut juga bergelut dengan keyakinan pengguna yang lemah serta perubahan tabiat makan.
Penganalisis Bernstein menjelaskan bahawa keputusan suku tahunan Nestle menambah tekanan pemulihan, dengan pengurangan pekerja digelar sebagai ‘kejutan yang ketara’.
Nestle mengekalkan prospek tahun 2025, menjangkakan pertumbuhan jualan organik yang lebih baik berbanding 2024, serta margin keuntungan operasi asas sebanyak 16%, dengan jangkaan sederhana sehingga 17%.





















































