Bila anda umur 55 tahun, nak keluarkan semua duit simpanan KWSP tak boleh! Tapi dibayar secara bulanan macam elaun pencen. Anda okay?
Seorang pakar mencadangkan agar sistem pengeluaran penuh simpanan pencarum KWSP pada umur 55 tahun dihentikan bagi mereka yang mula mencarum setelah 1 Januari 2026, dan digantikan dengan skim bayaran bulanan bermula umur 60 hingga 75 tahun.
Cadangan itu disuarakan oleh Perunding Kewangan Rakyat, Shamsuddin Abdul Kadir, yang menyatakan bahawa langkah ini akan menjadikan KWSP benar-benar berfungsi sebagai pelindung hari tua dan bukannya tabung simpanan jangka pendek.
Beliau menjelaskan bahawa pencarum baharu boleh dibenarkan membuat pengeluaran Akaun 2 pada umur 50 tahun untuk membayar pinjaman rumah, manakala Akaun 3 tetap terbuka untuk keperluan kecemasan, termasuk bagi mereka yang menghidap penyakit kritikal.
Shamsuddin berkata skim bayaran bulanan boleh dilaksanakan dengan syarat fleksibiliti dikekalkan agar keperluan semasa pencarum tidak terabai, sambil menegaskan bahawa cadangan itu bukan bertujuan menyekat hak pencarum tetapi memastikan dana persaraan negara kekal kukuh.
Beliau turut merujuk laporan Bank Dunia yang menyatakan bahawa umur pengeluaran penuh KWSP pada 55 tahun kini dianggap terlalu rendah memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat dan sistem persaraan negara perlu disesuaikan mengikut demografi.
Sebelum ini, had umur pengeluaran penuh simpanan KWSP bagi ahli ialah pada 55 atau 60 tahun bergantung kategori, namun cadangan baharu ini menggesa perubahan struktur secara menyeluruh agar sistem persaraan negara lebih mampan dalam jangka panjang.
























































