Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan bahawa warganegara Malaysia kini menikmati kemudahan perjalanan tanpa visa ke 174 negara di seluruh dunia.
Kedudukan baharu ini menjadikan pasport Malaysia kedua terkuat di Asia Tenggara selepas Singapura, sekaligus mengukuhkan imej negara sebagai pemain penting dalam sistem keselamatan dan urus tadbir perjalanan antarabangsa.
Jabatan itu menjelaskan bahawa pencapaian tersebut mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan global terhadap tahap keselamatan dokumen perjalanan Malaysia yang diyakini di peringkat antarabangsa.
Menurut laporan Bernama yang memetik data daripada passportindex.org, pasport Emiriah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga teratas dalam Passport Power Rank, diikuti Singapura dan Sepanyol di tempat kedua.
Menariknya, Malaysia hanya berada di kedudukan ke-12 dunia sebulan lalu, namun lonjakan sembilan anak tangga kali ini menunjukkan peningkatan mendadak hasil usaha berterusan kerajaan memperkukuh keselamatan dokumen serta hubungan diplomatik dengan negara luar.
Malaysia kini berada di kedudukan ketiga dunia, sebaris dengan 15 negara lain termasuk Jerman, Perancis, Itali, Belanda, Denmark, Switzerland, Norway dan Korea Selatan.

























































