Perdana Menteri China, Li Qiang menyatakan keyakinan bahawa ekonomi negara mereka mampu untuk melepasi ¥170 trilion (sekitar $23.9 trillion atau RM99.97 trilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Li menyebut bahawa sekatan perdagangan yang ‘berat sebelah’ telah memberi kesan besar terhadap susunan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
Namun beliau tetap menegaskan bahawa Beijing komited untuk mengukuhkan rantaian industri dan bekalan global yang stabil.
Li menyampaikan kenyataan tersebut pada acara Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China di Shanghai, di hadapan pemimpin dan usahawan dari pelbagai negara termasuk Georgia dan Serbia.
Beliau berkata China akan memberi tumpuan dalam meningkatkan permintaan domestik sebagai bahagian penting dalam model pembangunan baru yang digariskan dalam Rancangan Lima Tahun baharu bermula 2026.
Dalam latar tersebut, beliau menyebut komitmen untuk menggalakkan sistem perdagangan terbuka dan kerjasama antarabangsa, dengan objektif membolehkan barangan dan perkhidmatan China terus menembusi pasaran global tanpa halangan berkait sekatan dan tarif.
Li juga menekankan bahawa pengukuhan pasaran domestik China akan menjadikan negara itu penyumbang utama kepada pertumbuhan global dan menyediakan peluang lebih besar kepada syarikat multinasional yang ingin memperluas operasi mereka di rantau Asia.
Terdahulu, China dan Amerika Syarikat (AS) telah mencapai gencatan dagang dengan pertemuan kedua-dua pemimpin di Korea Selatan yang termasuk pengurangan tarif dan kawalan eksport.























































