Ringgit meningkat ke arah paras tertinggi setahun berbanding dolar AS pada pagi Jumaat, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 2.75%.
Pada jam 9.50 pagi, ringgit berada pada paras 4.1710 iaitu positif 0.24% berbanding dolar AS sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan bank pusat itu untuk mengekalkan kadar dasarnya sementara Amerika Syarikat berdepan prospek pelonggaran dasar monetari boleh memanfaatkan aset dalam denominasi ringgit.
Kedudukan OPR yang stabil dan prospek kadar faedah yang lebih rendah di Amerika Syarikat yang mengecil akan memberikan kelebihan buat ringgit apabila perbezaan kadar yang semakin rapat.
Indeks Dolar AS (DXY) susut di bawah paras 100 mata kepada 99.72 susulan petunjuk kelemahan berterusan dalam pasaran buruh Amerika.
Katanya lagi, data terbaharu menunjukkan lebih 150,000 pemberhentian kerja pada Oktober iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Ini menguatkan lagi jangkaan bahawa Federal Reserve mungkin menurunkan kadar faedah pada mesyuarat Disember nanti.
Pada masa yang sama, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia susut berbanding yen kepada 2.7305/7375 daripada 2.7202/7220 dan susut berbanding pound British kepada 5.4864/5002 daripada 5.4696/4729. Ia juga lemah berbanding euro kepada 4.8220/8342 daripada 4.8143/8172.
Ringgit juga kukuh berbanding rakan rantau Asean lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2017/2103 daripada 3.2034/2055 dan bertambah baik berbanding baht Thailand kepada 12.8829/9285 daripada 12.9178/9311. Ia juga naik pada rupiah Indonesia kepada 250.0/250.7 daripada 250.3/250.6 dan peso Filipina kepada 7.08/7.10 daripada 7.09/7.10 sebelumnya. – Bernama





















































