Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS pada awal minggu, meskipun perkembangan positif dalam kedudukan fiskal negara terus memberi sokongan asas kepada pengukuhan mata wang tempatan.
Pada jam 10:12 pagi, ringgit dibuka pada paras 4.0750 iaitu menyusut 0.02% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa jangkaan pelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi pemacu kepada kenaikan ringgit.
Beliau turut menegaskan ringgit kini berada dalam keadaan terlebih beli (overbought), sekali gus memberi isyarat bahawa pelabur mungkin mengambil peluang untuk meraih keuntungan dalam tempoh terdekat.
Prestasi cemerlang yang direkodkan oleh ringgit berbanding dolar AS sejak kebelakangan ini, dijangka terus mempengaruhi dinamik pasaran hari ini.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5839/5912 daripada 2.5909/5940, melonjak berbanding pound British kepada 5.4489/4636 daripada 5.4514/4574 dan naik berbanding euro kepada 4.7691/7820 daripada 4.7715/7767 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1505/1595 daripada 3.1515/1553 dan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 243.1/243.9 daripada 243.2/243.6.
Bagaimanapun, ia menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.9643/13.0060 daripada 12.9428/9620 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.93/6.96 daripada 6.94/6.95.-Bernama




















































