Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar AS apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) merosot menjelang minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hari ini.
Pada jam 10:25 pagi, ringgit dibuka pada 4.0500 iaitu mengukuh 0.20% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Pengumuman minit mesyuarat FOMC dijangka menjadi tumpuan utama pasaran hari ini berikutan kalendar ekonomi dijangka kekal hambar di kebanyakan pasaran menjelang cuti Tahun Baharu.
Pelabur terus menilai kemungkinan pemotongan kadar faedah seterusnya oleh Federal Reserve (Fed) pada tahun 2026, susulan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat dasar Disember lepas.
Dalam pada itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menjelaskan bahawa pengukuhan mata wang ringgit dipacu oleh dinamik aliran domestik dan bukannya sekadar bergantung kepada sentimen risiko luaran.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun kecairan pasaran pada akhir tahun dijangka terhad, namun aliran semasa tetap memberi kelebihan kepada mata wang tempatan.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama.
Ia meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.7677/7877 daripada 4.7787/7840 semalam, naik sedikit berbanding pound British pada 5.4711/4941 daripada 5.4742/4804, namun menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.5970/6082 daripada 2.5956/5987 sebelum ini.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1505/1642 daripada 3.1572/1610 semalam dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.7910/8540 daripada 12.8985/9190.
Ia juga menambah berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.92 daripada 6.90/6.91 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 241.2/242.3 daripada 241.7/242.1 sebelumnya. – Bernama


























































