Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah meluluskan perjanjian untuk menjual cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia H200 ke China.
Trump turut menegaskan bahawa hanya ‘pelanggan yang diluluskan’ di China dan wilayah lain dibenarkan membeli cip tersebut, manakala kerajaan AS akan menerima 25% daripada nilai setiap jualan.
Pengumuman ini dinanti-nantikan kerana sebelum ini, NVIDIA dihalang daripada mengeksport cip AI ke China yang mengakibatkan pegangan pasaran mereka di negara itu jatuh kepada sifar beberapa bulan lalu.
Berita gembira ini muncul selepas pertemuan beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang pada minggu lalu.
Trump berulang kali menyatakan bahawa AS mesti memenangi perlumbaan AI global, walaupun China telah melabur besar dalam industri domestiknya sendiri.
Cip H200 merupakan cip kedua paling berkuasa dalam inventori Nvidia dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai tugas AI.
Selain itu, cip tersebut menawarkan kuasa pemprosesan lebih tinggi berbanding cip H20 yang dikeluarkan khusus untuk pasaran China.
Bagaimanapun, prestasi cip H200 masih ketinggalan berbanding NVIDIA Blackwell Ultra B300 yang dilancarkan pada awal tahun ini.
Jabatan Perdagangan AS kini sedang memuktamadkan pendekatan serupa untuk syarikat AMD, Intel dan pengeluar cip lain.
























































