Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa kerajaan akan membayar ‘dividen’ sebanyak $2,000 (RM8,352) kepada kebanyakan rakyat AS, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dalam hantaran di platform Truth Social semalam, beliau menjelaskan bahawa hanya rakyat berpendapatan tinggi akan dikecualikan, namun tidak menyebut tahap pendapatan atau tempoh pelaksanaan cadangan tersebut.
Hantaran Trump itu dibuat hampir seminggu selepas Parti Demokrat meraih kemenangan dalam beberapa pilihan raya tempatan dan negeri di seluruh AS.
Antara kejayaan Parti Demokrat ialah mengekalkan jawatan gabenor di New Jersey dan Virginia, serta mengambil alih kerusi Suruhanjaya Utiliti Georgia yang sebelum ini dikuasai oleh Republikan.
Susulan pilihan raya itu, sebahagian ahli dalam parti Trump mengkritik beliau kerana didakwa kurang memberi perhatian kepada penyokong teras, yang sebelum ini dijanjikan pengurangan kos sara hidup semasa kempen.
Kadar inflasi di AS kekal tinggi, sekitar 3%, sekaligus menyebabkan ramai rakyat mengeluh mengenai kenaikan harga barangan.
Bagaimanapun, ramai pengusaha kecil di AS membantah dasar tarif tersebut dengan sebahagian daripada mereka telah memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Agung minggu lepas.
Para penganalisis turut menzahirkan kebimbangan terhadap kesan ledakan kecerdasan buatan (AI), risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran, peningkatan kos tenaga elektrik, serta kos perumahan yang tinggi di bandar seperti New York.
Dalam hantaran sama, Trump memuji keadaan ekonomi AS, menyatakan bahawa hasil daripada tarif perdagangan berpotensi menjana ‘trilion dolar’ yang boleh digunakan untuk mula mengurangkan hutang negara yang besar.
Trump juga menyifatkan AS sebagai ‘negara terkaya dan paling dihormati di dunia’, sambil menegaskan bahawa ‘hampir tiada inflasi dan pasaran saham mencapai rekod tertinggi.’























































