Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dijadualkan mengadakan lawatan rasmi kerja ke White House pada 18 November ini, di mana beliau akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perkata itu disahkan oleh seorang pegawai White House pada Isnin lalu.
Lawatan tersebut berlangsung ketika Trump berusaha meyakinkan Arab Saudi untuk menyertai kumpulan negara yang telah menandatangani Perjanjian Abraham Accords.
Pada tahun 2020, Trump mencapai kesepakatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan bagi memulihkan hubungan mereka dengan Israel.
Bagaimanapun, Arab Saudi masih menunjukkan sikap berhati-hati dan belum bersedia untuk terlibat sepenuhnya tanpa komitmen jelas terhadap pembentukan sebuah negara Palestin.
Dalam wawancara bersama program ‘60 Minutes’ terbitan CBS yang disiarkan pada Ahad, Trump menyatakan keyakinan bahawa Arab Saudi pada akhirnya akan menyertai perjanjian tersebut.
Akhbar Financial Times melaporkan dua minggu lalu bahawa terdapat harapan kedua-dua negara akan memeterai perjanjian itu semasa lawatan Putera Mahkota ke White House.
Selain itu, Trump dan Mohammed bin Salman turut dijangka membincangkan potensi perjanjian keselamatan antara AS dan Arab Saudi.
Seorang pegawai kanan dalam pentadbiran Trump memaklumkan kepada Reuters bahawa terdapat perbincangan untuk memeterai satu perjanjian semasa lawatan Putera Mahkota, namun perinciannya masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.























































