Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesahkan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, tanpa menetapkan syarat bahawa Putin perlu berjumpa dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky terlebih dahulu.
Kenyataan itu bercanggah dengan laporan awal yang menyebut pertemuan Putin-Zelensky sebagai prasyarat rundingan, sekali gus mencetuskan spekulasi baharu.
Ia dibuat sehari selepas Trump memberi amaran bahawa Moscow bakal berdepan sekatan tambahan sekiranya gencatan senjata tidak dicapai menjelang Jumaat ini.
Trump berkata keputusan mengenai tarikh akhir itu bergantung sepenuhnya kepada Putin dan pihaknya akan menunggu untuk mendengar pendirian pemimpin Rusia itu.
Kremlin mengesahkan Putin dijangka menghadiri sidang kemuncak bersama Trump dalam tempoh terdekat, namun menolak penglibatan Zelensky.
Washington pula menafikan tarikh dan lokasi pertemuan telah dimuktamadkan, tetapi mengakui ia berkemungkinan diadakan seawal minggu depan.
Jika menjadi kenyataan, sidang kemuncak ini akan menjadi yang pertama antara pemimpin AS dan Rusia sejak 2021.
Dalam pada itu, Zelensky menegaskan Ukraine perlu menjadi pihak yang terlibat secara langsung dalam sebarang rundingan damai bagi menamatkan konflik yang telah meragut puluhan ribu nyawa sejak Februari 2022.