Indeks Dolar AS (DXY) bergerak stabil, ia mendapat tekanan selepas data menunjukkan kelemahan berterusan dalam pasaran buruh AS dan meningkatkan jangkaan bahawa Fed mungkin meneruskan pemotongan kadar faedah.
Laporan ADP menunjukkan bahawa majikan telah mengurangkan pekerjaan dan menambah bebanan kepada mata wang dolar AS.
Pada jam 9.50 pagi, DXY berada pada posisi 99.609 mata iaitu tidak berganjak sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Kerugian dolar dihadkan oleh laporan bahawa Indeks Pasaran Perumahan NAHB bagi November meningkat secara mengejut ke paras tertinggi tujuh bulan. Selain itu, kejatuhan pasaran saham pada Selasa turut mendorong permintaan terhadap dolar sebagai aset kecairan.
Dalam data lain, tuntutan pengangguran awal AS bagi minggu berakhir 18 Oktober mencatatkan 232,000. Tuntutan berterusan pula meningkat sebanyak 10,000 kepada 1.957 juta, iaitu paras tertinggi dalam dua bulan.
ADP melaporkan bahawa majikan AS membuang purata 2,500 pekerjaan setiap minggu dalam empat minggu berakhir 1 November.
Komen Presiden Fed Richmond, Thomas Barkin pada Selasa bernada sedikit dovish dan memberi tekanan kepada dolar. Beliau menyatakan bahawa pengumuman pemberhentian pekerja oleh syarikat besar seperti Amazon, Verizon dan Target memberi isyarat untuk berhati-hati terhadap keadaan pasaran buruh.
Barkin turut menambah bahawa inflasi kekal agak tinggi tetapi tidak mungkin meningkat dengan banyak.
Pada masa sama, pasaran kini menilai kira-kira 47% peluang bahawa FOMC akan menurunkan julat sasaran kadar dana persekutuan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat 9–10 Disember.























































