Dolar AS bergerak positif sedikit semasa minggu dibuka apabila para pelabur bersiap sedia untuk pengeluaran besar-besaran data ekonomi ‘high impact’ selepas penutupan kerajaan berpanjangan, sambil menilai penjelasan mengenai jangkaan kadar faedah Fed pada Disember nanti.
Pada jam 10 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) berada pada posisi 99.397 mata iaitu naik 0.13% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin.
Reaksi pasaran kini tertumpu pada tindakan penarikan semula tarif Presiden AS Donald Trump ke atas lebih 200 produk makanan dan penganalisis berkata langkah itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia berkait rapat mengenai kos sara hidup.
Tumpuan minggu ini akan tertumpu pada pelbagai keluaran data AS untuk petunjuk mengenai kesihatan ekonomi terbesar dunia itu, dengan laporan Non-Farm Payroll (NFP) September yang dipantau rapi pada hari Khamis.
Walaupun terdapat tanda-tanda kelemahan selanjutnya dalam ekonomi AS daripada data sektor swasta baru-baru ini, pelabur telah mengurangkan jangkaan pemotongan Fed bulan depan sambil mempertaruhkan bahawa jurang dalam data ekonomi akan melambatkan atau bakal menjejaskan pengurangan selanjutnya.
Pasaran kewangan kini menetapkan harga dalam kemungkinan hampir 54% bahawa Fed akan mengurangkan penanda aras kadar pinjaman semalaman sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Disember.


























































