Kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York menandakan kebangkitan luar biasa seorang ahli politik yang sebelum ini kurang dikenali.
Mamdani muncul daripada arena politik tempatan tanpa sebarang nama besar, namun beliau berjaya mengetuai kempen berprofil tinggi untuk merebut jawatan tertinggi di sebuah bandar besar Amerika Syarikat (AS).
Sejak memenangi pemilihan calon Parti Demokrat pada Jun lalu, warga New York telah terbiasa melihat wajahnya di kaca televisyen, dan beliau juga menjadi orang Islam pertama yang memegang jawatan tersebut.
Dalam pilihan raya tersebut, beliau berjaya menewaskan calon bebas, bekas Gabenor Andrew Cuomo yang mendapat sokongan daripada Presiden AS, Donald Trump serta calon Republikan, Curtis Sliwa.
Ahli politik berusia 34 tahun itu dilahirkan di Uganda dalam keluarga berketurunan India dan berpindah ke AS ketika berumur 7 tahun, sebelum memperoleh kewarganegaraan pada 2018.
Beliau merupakan anak kepada pengarah filem terkenal Mira Nair dan Mahmood Mamdani, seorang profesor serta pakar Afrika yang dihormati.
Mamdani juga pernah dilabelkan sebagai anak yang berjaya kerana pengaruh keluarganya.
Pendidikan beliau bermula di Bronx High School of Science yang berprestij, sebelum melanjutkan pelajaran ke Bowdoin College di Maine, sebuah universiti yang dianggap sebagai kubu pemikiran progresif.
Selain menceburi bidang politik, Mamdani turut menonjolkan diri dalam dunia rap pada tahun 2015 bersama dua artis berketurunan India dengan menggunakan nama pentas ‘Young Cardamom’.
Bagaimanapun, beliau tidak bertahan lama dalam dunia muzik selepas digelar sebagai ‘artis kelas kedua’.
Minatnya terhadap politik tercetus apabila beliau mengetahui bahawa rapper Himanshu Suri (Heems) menyokong seorang calon majlis bandar raya. Mamdani kemudian menyertai kempen tersebut sebagai seorang aktivis.
Pada tahun 2018, beliau dipilih sebagai wakil rakyat dari Queens, sebuah kawasan yang dihuni oleh golongan pelbagai etnik dan penduduk berpendapatan rendah.























































