Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia dikejutkan oleh kepakaran teknologi super komputer, kecerdasan buatan (AI) yang menjangkaui kemahiran dan pemikiran manusia dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
AI kini menjadi satu kemudahan canggih yang mudah diakses melalui telefon bimbit oleh ramai pengguna dari pelbagai peringkat umur, khususnya golongan muda.
Walau bagaimanapun, di sebalik kecanggihan AI dalam menyelesaikan segala perkara, namun pada masa hadapan akan berlaku satu fasa di mana teknologi ini akan menguasai sektor pekerjaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Artikel ini akan mendedahkan 5 pekerjaan yang bakal diambil alih oleh AI:-
1. Penulis Artikel
Kerjaya sebagai penulis artikel mungkin dianggap mudah bagi kebanyakan orang. Namun hakikatnya, kerjaya ini memerlukan penguasaan sepenuhnya dari segi tatabahasa dan kreativiti untuk menghasilkan karya yang memuaskan.
Namun begitu, kerjaya ini kini berada di fasa kritikal apabila sesetengah penulis hanya perlu menggunakan AI dengan menaip ‘boleh tak bantu saya hasilkan artikel yang menarik?’ pada ChatGPT.
Secara automatik, ChatGPT akan memberikan artikel-artikel yang menarik tanpa perlu menulis atau mengarang artikel.
Situasi ini berisiko mengurangkan peluang pekerjaan kepada penulis yang menghasilkan karya dengan jiwa dan pengalaman.
2. Penyunting Video
Penyunting video atau video editor berperanan untuk menyunting, memotong, menambah kesan dan memadankan audio supaya menjadi sebuah video yang menarik untuk dipaparkan kepada orang ramai.
Dengan adanya teknologi AI, segala kesukaran untuk mengedit video kini menjadi semakin mudah, menggunakan aplikasi seperti Pippit AI, PixVerse AI dan TopMediai untuk mencipta video seakan-akan filem Hollywood.
Situasi ini berisiko menyukarkan peluang penyunting video untuk mencari kerja.
3. Penterjemah Bahasa
Dahulu, untuk mendapatkan penterjemah bahasa yang mampu berinteraksi sememangnya sukar, tetapi kini segalanya menjadi lebih mudah dengan adanya AI.
Tamsilannya, sekiranya syarikat memerlukan seorang penterjemah bahasa Jepun, syarikat itu hanya perlu menggunakan aplikasi Globibo mahupun Noiz ai untuk menterjemahkan audio menjadi bahasa yang mudah difahami.
Langkah ini berpotensi menjimatkan kos sebuah syarikat tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk membayar gaji pekerja.
4. Pembantu Tadbir
Kerjaya pembantu tadbir berisiko diambil alih oleh AI. Hal ini disebabkan AI memiliki keupayaan untuk mengurus jadual, menulis emel dan laporan, serta mengatur mesyuarat.
Kemudahan ini berperanan memudahkan urusan kerja seharian dan tugasan administratif di pejabat, sekali gus meminimumkan keperluan kerani dalam sebuah syarikat.
5. Pereka Grafik
Kerjaya sebagai pereka grafik disifatkan antara pekerjaan yang memerlukan penelitian dalam menghasilkan visual yang cantik dan menarik.
Bagaimanapun, AI boleh mencipta ilustrasi, logo dan reka bentuk visual untuk pemasaran atau media sosial dalam tempoh singkat.
Reka bentuk ciptaan AI tersebut kelihatan lebih menarik, sempurna dan menakjubkan berbanding hasil kerja buatan manusia.
Keadaan ini berisiko mengurangkan keperluan majikan untuk mengambil pekerja pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, kebanyakan pekerja kini perlu mengikuti arus peralihan digital dengan menguasai banyak kemahiran dalam pelbagai bidang bagi menempatkan diri dalam sektor pekerjaan yang semakin mencabar dengan kehadiran AI.
Ironinya, AI dicipta dengan teknologi tanpa sempadan, sedangkan hasil kerja manusia dihasilkan dengan usaha dan penat lelah.

























































