Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bitcoin kini berdepan tekanan apabila kenaikan harga minyak, yang dipacu oleh ketegangan geopolitik global, menjadi salah satu faktor utama yang mempengaruhi pergerakannya.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $66,736 iaitu menurun 0.13% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Dalam situasi penuh ketidakpastian, pelabur cenderung untuk mengelakkan risiko dan beralih kepada aset yang lebih selamat, menyebabkan aset seperti Bitcoin mula kehilangan momentum.
Walaupun sempat menunjukkan kenaikan ke paras sekitar $72,000 susulan harapan penyelesaian konflik, sentimen itu tidak bertahan lama apabila kebimbangan terhadap bekalan minyak kembali memuncak.
Apabila harga minyak meningkat, kesannya bukan sekadar pada sektor tenaga, tetapi turut memberi tekanan kepada keseluruhan ekonomi global.
Kos tenaga yang tinggi mendorong inflasi naik, sekali gus menyukarkan bank pusat seperti Federal Reserve untuk menurunkan kadar faedah.
Dalam persekitaran kadar faedah tinggi, kecairan dalam pasaran menjadi lebih ketat dan pelabur lebih berhati-hati untuk memasukkan dana ke dalam aset berisiko seperti kripto.
Situasi ini mencetuskan apa yang dikenali sebagai ‘risk-off sentiment’, di mana pelabur mula menjual pegangan dalam aset berisiko dan memilih untuk menyimpan nilai dalam instrumen yang lebih stabil.
Kesan langsungnya, Bitcoin dan pasaran kripto secara keseluruhan mengalami tekanan jualan yang berterusan.
Malah, beberapa penganalisis menjangkakan bahawa jika keadaan ini berlarutan, Bitcoin berpotensi turun ke sekitar paras $60,000 sebelum menemui titik sokongan yang lebih kukuh.
Dalam masa yang sama, sentimen pelabur runcit juga menunjukkan tanda-tanda kebimbangan.
Ramai memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sementara indeks Fear and Greed menggambarkan keadaan pasaran yang masih rapuh.
Ketidaktentuan ini menambah lagi tekanan kepada harga, menjadikan pergerakan Bitcoin lebih tidak menentu dalam jangka masa pendek.
























































