Amerika Syarikat (AS) menghentikan serangan ke atas Iran untuk malam kedua berturut-turut selepas melancarkan operasi selama 13 malam.
Pada masa sama, Iran memberi isyarat untuk menahan sebarang serangan balas ketika rundingan bersama Oman berhubung laluan Selat Hormuz kembali diadakan.
Situasi itu memberi harapan kepada pasaran bahawa ketegangan di Timur Tengah mungkin dapat diredakan melalui saluran diplomatik. Namun, AS menegaskan semua pilihan masih berada di atas meja dan Presiden Donald Trump belum membuat keputusan sama ada untuk meningkatkan operasi ketenteraan.
Iran memberi amaran bahawa konflik boleh menjadi lebih luas sekiranya AS meneruskan serangan. Rundingan antara Iran dan Oman kini tertumpu kepada usaha memulihkan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dunia.
Susulan perkembangan itu, harga minyak mentah Brent menjunam lebih 7% sebelum mengurangkan kerugian apabila kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga mula reda.
Bagaimanapun, ketegangan masih berterusan apabila kumpulan Houthi menyerang kemudahan berkaitan Saudi Aramco di Jizan dan Yanbu, sebelum dibalas oleh pakatan tentera pimpinan Arab Saudi.
Walaupun terdapat perkembangan positif dalam rundingan, risiko geopolitik masih kekal tinggi.
Trump dilaporkan masih mempertimbangkan serangan berskala besar ke atas Iran, namun laporan media AS menyatakan pentadbirannya menangguhkan rancangan tersebut buat sementara waktu kerana kebimbangan terhadap kos peperangan dan penyusutan stok sistem pertahanan udara.






















































