Bangladesh memohon bantuan Malaysia bagi membekalkan gas asli cecair (LNG) untuk mengatasi krisis bekalan gas yang sedang dihadapi negara itu.
Permintaan tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu perbualan telefon.
Menurut Anwar, Bangladesh turut berharap kerjasama dapat dijalinkan bersama PETRONAS bagi membantu memenuhi keperluan tenaga yang semakin mendesak susulan gangguan bekalan gas.
Selain isu tenaga, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Bangladesh. Perbincangan merangkumi kemajuan pelaburan melibatkan Axiata serta potensi kerjasama strategik bersama MMC Port bagi memperluaskan peluang pelaburan dan perdagangan.
Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Bangladesh berasaskan semangat saling menghormati, kerjasama pragmatik dan manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
Menurut laporan media antarabangsa, krisis bekalan gas di Bangladesh semakin meruncing akibat konflik di Asia Barat, selain diburukkan lagi oleh kemalangan yang berlaku di sebuah kemudahan industri negara itu.
























































