Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bitcoin kembali menguji bahagian atas julat dagangannya sekitar $70,500, sekali gus meletakkan pasaran pada titik penentuan penting.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $69,992 iaitu positif 0.02% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Pergerakan ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan penganalisis sama ada BTC bersedia untuk melakukan lonjakan baharu atau berdepan risiko penurunan semula dalam masa terdekat.
Penganalisis pasaran, Lennaert Snyder, menjelaskan bahawa membeli pada bahagian atas julat bukanlah strategi yang ideal kerana peluang risiko-keuntungan menjadi kurang menarik.
Menurutnya, peluang belian yang lebih kukuh lazimnya muncul apabila harga berada di bahagian bawah julat, bukannya ketika harga sudah hampir ke zon rintangan utama.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika Bitcoin mula kehilangan momentum dan jatuh di bawah paras struktur penting sekitar $69,383, tekanan jualan boleh meningkat dengan sasaran penurunan ke sekitar $65,280.
Dalam analisis berasingan, penganalisis kripto Zord menyatakan bahawa Bitcoin kini tepat menyentuh paras atas julat yang telah dikenal pasti sebelum ini.
Sekiranya BTC berjaya memecahkan rintangan tersebut, ia berpotensi meneruskan kenaikan ke kawasan $71,200 hingga $72,846, malah tidak mustahil untuk menguji semula paras sekitar $74,000.
Namun begitu, jika berlaku penolakan harga di zon rintangan ini, Bitcoin berisiko melakukan pembetulan semula dengan sasaran ke bahagian tengah julat sebelum akhirnya kembali ke paras sokongan utama sekitar $62,800.
Situasi ini menjadikan pergerakan seterusnya bagi Bitcoin sangat kritikal, kerana keputusan di zon $70,000 boleh menentukan sama ada pasaran akan menyaksikan lonjakan baharu atau penurunan ketara dalam tempoh terdekat.

























































