Bitcoin gagal mengekalkan momentum di atas paras $80,000 selepas ditolak ketika cuba melepasi $82,000.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $77,061 iaitu positif 0.15% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Kejatuhan semula ke sekitar $76,000 turut menyebabkan kira-kira $400 juta posisi ‘long’ dilikuidasikan dalam tempoh empat hari, sekali gus menggugat keyakinan pelabur jangka pendek.
Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang boleh membantu Bitcoin kembali menembusi $80,000 lebih awal daripada jangkaan pasaran.
Salah satu pemangkin utama ialah pembelian agresif Bitcoin oleh syarikat Strategy yang diterajui oleh Michael Saylor.
Dalam tempoh seminggu sahaja, syarikat itu membeli sekitar $2 bilion Bitcoin.
Langkah ini menunjukkan keyakinan institusi terhadap potensi jangka panjang Bitcoin walaupun pasaran sedang lemah.
Selain itu, Strategy turut membeli semula hutangnya bernilai $1.5 bilion yang matang pada 2029, sekali gus mengurangkan risiko pencairan saham dan membuka ruang untuk pembelian Bitcoin tambahan pada masa depan.
Dari sudut makroekonomi pula, hasil bon kerajaan AS 10 tahun meningkat kepada sekitar 4.60%, paras tertinggi dalam 16 bulan.
Keadaan ini menunjukkan pelabur mula risau terhadap beban hutang Amerika Syarikat yang semakin besar, terutama apabila kira-kira $2 trilion hutang jangka panjang bakal matang pada 2026.
Situasi ini meningkatkan kemungkinan bahawa Federal Reserve perlu terus membeli bon kerajaan, yang boleh melemahkan nilai dolar AS.
Apabila keyakinan terhadap mata wang fiat menurun, aset terhad seperti emas dan Bitcoin biasanya menjadi pilihan pelabur.
Selain itu, ketegangan geopolitik melibatkan AS dan Iran turut memainkan peranan besar.
Harga minyak Brent melonjak melebihi $110 selepas rundingan pembukaan semula Selat Hormuz terganggu. Kenaikan harga minyak meningkatkan tekanan inflasi dan menjejaskan sentimen pasaran risiko seperti kripto.
Namun, jika berlaku perjanjian damai antara AS dan Iran, sentimen pelabur boleh kembali positif dan membantu Bitcoin melonjak semula melepasi $80,000.
Walaupun Bitcoin masih sekitar 39% di bawah paras tertinggi sepanjang masa, pasaran saham AS pula hampir mencatat rekod baharu.





















































