Bitcoin masih bergerak di sekitar paras $60,000 selepas mengalami kejatuhan mendadak minggu lalu.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $59,739 iaitu positif 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Walaupun harga berjaya bertahan di atas zon sokongan sekitar $58,000, penganalisis berpendapat pasaran masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang kukuh kerana minat pembeli masih lemah.
Menurut firma analisis blockchain Glassnode, Bitcoin kini berada dalam fasa penyesuaian pasaran apabila kebanyakan pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
Walaupun aktiviti dagangan meningkat, pasaran spot masih mencatatkan lebih banyak jualan berbanding pembelian.
Ini menunjukkan kecairan yang masuk ke pasaran lebih banyak digunakan untuk menjual Bitcoin daripada mengumpul pegangan baharu.
Sentimen berhati-hati itu turut dapat dilihat dalam pasaran derivatif.
Ramai pedagang mengurangkan penggunaan leveraj dan memilih untuk membeli perlindungan daripada risiko kejatuhan harga, menandakan mereka masih menjangkakan kemungkinan tekanan jualan berterusan.
Permintaan daripada pelabur institusi juga dilihat semakin perlahan.
Dana dagangan bursa (ETF) Bitcoin Spot di Amerika Syarikat kini berada dalam kedudukan kerugian belum direalisasikan secara keseluruhan, selain terus merekodkan aliran keluar dana.
Keadaan ini menunjukkan pelabur institusi masih belum bersedia menambah pegangan walaupun harga Bitcoin telah jatuh.
Dalam perkembangan berasingan, Strategy, syarikat pemegang Bitcoin korporat terbesar dunia, mengumumkan rangka kerja kewangan baharu bagi mengukuhkan kedudukan tunainya.
Syarikat itu turut meluluskan program yang membolehkan penjualan sehingga $1.25 bilion Bitcoin sekiranya diperlukan untuk menambah rizab tunai, membayar dividen, faedah serta membiayai program pembelian balik sekuriti.
Langkah ini dianggap sebagai perubahan besar kerana sebelum ini Strategy terkenal dengan strategi ‘beli dan simpan’ Bitcoin tanpa menjual pegangan.
Walau bagaimanapun, penganalisis percaya keputusan itu membantu mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap kecairan syarikat.
Setakat ini, Strategy masih memegang sekitar 847,000 BTC, menjadikannya pemilik Bitcoin korporat terbesar di dunia.
Pengumuman tersebut turut disambut positif oleh pasaran apabila saham syarikat melonjak lebih 12%, sekali gus menamatkan sembilan hari berturut-turut mengalami penurunan.
























































