Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran kripto terus menunjukkan ketahanan apabila dana pelaburan aset digital mencatat aliran masuk lebih $1 bilion minggu lalu, menandakan minat pelabur masih kuat walaupun dunia berdepan tekanan geopolitik.
Menurut laporan daripada CoinShares, produk pelaburan kripto seperti exchange-traded products (ETP) merekodkan aliran masuk sebanyak $1.06 bilion, dengan sebahagian besar dana mengalir ke dalam Bitcoin yang menerima sekitar $793 juta.
Ini menjadikan tiga minggu berturut-turut pasaran kripto mencatat aliran masuk positif dengan jumlah keseluruhan sekitar $2.7 bilion.
Ketua penyelidikan CoinShares, James Butterfill berkata momentum ini menunjukkan aset digital, khususnya Bitcoin, semakin dilihat sebagai ‘safe haven relatif’ oleh pelabur ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan.
Sejak tercetusnya krisis melibatkan Iran, jumlah aset di bawah pengurusan bagi ETP kripto meningkat hampir 9.4% kepada sekitar $140 bilion, menandakan keyakinan terhadap pasaran ini masih utuh.
Sementara itu, dana berkaitan Ethereum turut menunjukkan pemulihan apabila menerima $315 juta aliran masuk minggu lalu, walaupun secara keseluruhan tahun ini masih mencatat aliran keluar kecil sekitar $23 juta.
Sebahagian besar aliran masuk Bitcoin dipacu oleh ETF spot di Amerika Syarikat yang mencatat lima hari berturut-turut aliran masuk dana, dengan jumlah sekitar $767 juta dalam tempoh seminggu.
Walaupun begitu, ETF Bitcoin tersebut masih mencatat aliran keluar bersih sekitar $493 juta bagi tahun 2026 setakat ini, selepas mengalami tekanan jualan besar pada awal tahun.
Jika momentum aliran masuk ini berterusan, penganalisis percaya dana kripto berpotensi kembali mencatat prestasi lebih kukuh, sekali gus mengukuhkan kedudukan Bitcoin sebagai aset alternatif yang semakin mendapat perhatian pelabur global.





















































