Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan mengumumkan penyelarasan baharu bagi subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95, dengan had kelayakan diturunkan kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.
Menurut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, keputusan ini dibuat sebagai langkah berhati-hati susulan tekanan geopolitik global yang semakin memuncak, khususnya konflik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan dan harga tenaga dunia.
Ketegangan yang berlarutan di rantau tersebut, termasuk gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz, telah memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan minyak antarabangsa.
Walaupun Malaysia masih berada dalam keadaan relatif stabil hasil keupayaan syarikat minyak negara, Petronas, negara tetap tidak terkecuali daripada tekanan kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi global.
Dalam perutusan khasnya, PMX menegaskan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan bekalan minyak kekal terjamin dan penggunaan dapat diurus dengan lebih berhemat tanpa membebankan rakyat.
Berdasarkan analisis kerajaan, purata penggunaan petrol RON95 dalam kalangan penerima BUDI95 hanyalah sekitar 100 liter sebulan, manakala hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter.
Ini menunjukkan majoriti rakyat tidak akan terjejas dengan penyelarasan tersebut.
Walaupun had subsidi dikurangkan, kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter, satu keputusan yang terus membezakan Malaysia daripada banyak negara lain yang telah menaikkan harga bahan api.
Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
PMX turut memberi jaminan bahawa penyelarasan ini bersifat sementara, bergantung kepada keadaan pasaran minyak global dan kestabilan ekonomi.
Dalam masa yang sama, beliau merayu agar rakyat memahami keperluan langkah ini, yang disifatkan sebagai pendekatan seimbang antara menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kelangsungan ekonomi negara dalam suasana global yang mencabar.

























































