Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
China mengumumkan kenaikan bajet pertahanan sebanyak 7% bagi tahun 2026, sekali gus meneruskan trend peningkatan perbelanjaan ketenteraan negara itu sejak hampir sedekad lalu.
Pengumuman tersebut dibuat dalam laporan bajet Kementerian Kewangan sempena mesyuarat politik tahunan negara itu, ‘Two Sessions’, di Beijing.
Melalui peruntukan baharu ini, China dijangka membelanjakan sekitar 1.9096 trilion yuan, bersamaan kira-kira $276.8 bilion untuk sektor pertahanan.
Walaupun jumlah itu besar, ia masih jauh lebih kecil berbanding bajet ketenteraan Amerika Syarikat yang kekal sebagai yang terbesar di dunia.
Menurut penganalisis, peningkatan perbelanjaan tersebut akan digunakan bagi menaikkan gaji anggota tentera, memperkukuh latihan ketenteraan, serta meningkatkan keupayaan teknologi seperti peperangan siber dan pembelian peralatan moden.
Sebahagian dana juga dijangka menyokong operasi ketenteraan di sekitar Taiwan yang terus menjadi isu sensitif dalam geopolitik serantau.
Sejak 2016, China secara konsisten meningkatkan bajet pertahanannya sekitar tujuh hingga lapan peratus setiap tahun sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan tenteranya.
Walaupun Beijing menegaskan langkah ini bertujuan melindungi kedaulatan negara, perkembangan tersebut tetap menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa negara Asia yang melihatnya sebagai potensi perlumbaan senjata di rantau itu.




























































